cik huda
about stuffs home


Tips menjaga arnab
Saturday, 6 October 2012 | 10/06/2012 05:18:00 pm | 0 comments


Mengapa memelihara arnab? korang mungkin memelihara arnab untuk dijadikan binatang kesayangan ataupun untuk tujuan ternak.
Arnab sebagai binatang kesayangan: korang perlu menentukan bilangan arnab yang ingin dipelihara. Sudah tentu  korang mahu mempunyai arnab kesayangan sehingga 30 atau 40 ekor. Di sini korang mempunyai pilihan:
a) memelihara hanya seekor arnab
b) memelihara arnab yang sama jantina,
c) memandulkan arnab dengan bantuan doktor haiwan.
Sekiranya ini tidak diambilkira, arnab akan membiak. Ingatlah!, arnab boleh membiak dengan sangat cepat dan dalam masa yang singkat korang akan mempunyai terlalu banyak arnab. korang boleh memilih samada untuk memelihara arnab kesayangan di dalam rumah atau di luar rumah. Sekiranya korang ingin memelihara arnab di dalam rumah, banyak perkara yang harus diperhatikan:
a) perlu melatih arnab untuk membuang najis dan kencing di tempat yang disediakan,
b) perlu mencuci tempat najis dan kencing ini selalu kerana bau kencing arnab agak kuat kecuali jika arnab sudah dimandulkan, baunya akan berkurangan,
c) perlu sentiasa menyediakan air bersih dan bekasnya dicuci setiap hari,
d) perlu menyediakan sangkar yang baik untuk arnab tidur,
e) perlu membawa arnab keluar untuk bersenam dengan membiarkan ia berlari dan melompat di luar rumah
f) sembunyikan wayar dan kabel elektrik dan talipon kerana arnab suka menggigitnya.

Sangkar,kandang atau cage:

Jika korang memelihara arnab kesayangan di luar rumah, harus pula disediakan kandang yang baik dan mudah dibersihkan. Kandang yang biasa harus berlantaikan jaring dawai berukuran 1 inci x 0.5 inci supaya najis dan kencingnya tidak terkumpul di dalam kandang. Semasa arnab masih kecil, gunakan alas lantai berjaring halus. Jika tidak kaki arnab boleh tersepit di celah jaring lantai dan kemungkinan akan patah. Jika lantai kandang diperbuat daripada papan, arnab korang mungkin dijangkiti bakteria dan berkudis di tapak kakinya. Kudis ini biasanya bernanah. Saiz kandang yang sesuai ialah 2.5 x 2.5 x 2.5 kaki. Satu kandang untuk seekor arnab sahaja untuk mengelakkan pergaduhan dan kecederaan. Letakkan kandang arnab di tempat yang teduh, mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak panas, contohnya, tidak menggunakan atap zing. Sediakan sekeping papan kecil di dalam kandang korang sebagai tempat arnab baring kerana ia lebih suka baring di atas permukaan yang rata.

Makan dan minum:
Penjagaan makan dan minum sangat penting untuk menentukan kesihatan arnab. Ketika berumur 1 hingga 3 bulan, korang boleh memberikan makanan arnab yang boleh dibeli di kebanyakan kedai runcit. Selepas umur 3 bulan, korang harus membekalkan sedikit sayur-sayuran, rumput dan sedikit buah-buahan, sekali-sekala (sajikan sayuran dan buah-buahan segar sahaja). Elakkan memberi kangkung terlalu banyak kerana boleh menyebabkan arnab sakit perut. Arnab juga suka makan daun pisang, daun kelapa dan suka mengunyah rumput kering. Jika  korang hanya menggunakan baja untuk arnab dewasa tanpa kawalan, arnab akan menjadi terlalu gemuk dan tidak menarik lagi. Kadangkala ia akan mengalami masalah sembelit kerana kekurangan serat dalam makanannya. Perlu diingat juga, arnab akan bersalin bulu setiap 3 bulan dan bulu yang luruh banyak yang tertelan ketika membersihkan dirinya. Jika di dalam makanannya tiada serat (sayuran dan rumput) arnab korang mungkin akan mati sakit perut! Ini disebabkan bulu akan bergumpal dalam tali perut (hairball) dan menjadi tersekat. Lebihan makanan mestilah dibuang setiap hari untuk mengelakkan kandang menjadi kotor dan berbau busuk.
Jangan gunakan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik kerana arnab akan menggigitnya dan menumpahkan air dan makanan. Gunakan bekas yang berat seperti mangkuk tanah liat atau pasu kecil. Air mestilah bersih dan digantikan setiap hari. Jangan lupa mencuci bekas air setiap kali menukar air. Arnab tidak akan minum air yang masam dan arnab yang haus akan berhenti makan.
Kandang hendaklah dicuci setiap minggu dengan menggunakan air bersih. Biarkan kandang kering sebelum memasukkan semula arnab. Sebaik-baiknya gunakan pembasmikuman yang boleh dibeli di kedai-kedai “pet shop”.
Jika kawasan rumah tidak berpagar, awasilah arnab korang ketika ia dilepaskan. Jika lalai, arnab korang mungkin diserang oleh anjing atau sesat dan tidak jumpa jalan pulang!
Arnab boleh hidup lama, sesetengahnya mencapai umur 5 hingga 8 tahun. Oleh itu, memelihara arnab sebagai binatang kesayangan bukan kerja yang mudah. Tugas memberi makan dan menjaga kebersihan serta kesihatan arnab setiap hari tidak boleh diabaikan. Jika tidak, ia bukanlah binatang kesayangan!

JANGAN:

a) Jangan mengangkat arnab di bahagian telinga;
Arnab tidak suka dipegang di bahagian telinga. Tambahan pula tubuh arnab berat tetapi tulang- tulangnya lembut. Arnab akan meronta jika dipegang telinganya. Jika ia meronta dengan kuat, kemungkinan tulang leher atau tulang belakangnya akan patah. Cara mengangkat arnab adalah dengan mencekup telinga sekaligus dengan kulit di bahagian belakangnya dengan tangan kanan, sementara tangan kiri mengampu di bahagian punggungnya. Jika arnab meronta-ronta, biarkan ia sebentar dan ulang semula pada masa yang lain.
b) Jangan sergah arnab korang;
arnab sangat sensitif kepada bunyi yang kuat dan yang memeranjatkan. Ia akan melompat dan berlari ketakutan. Arnab yang ketakutan mungkin tidak mahu makan untuk beberapa hari.
c) Jangan lakukan arnab seperti seekor kucing;
korang tidak boleh melayan arnab seperti seekor kucing. korang boleh memegang dan membelai arnab tetapi sesetengah arnab hanya suka dibelai tanpa dipeluk. Tendangan kaki belakang dan cakaran kaki hadapannya kuat dan boleh melukakan tangan. Berhati-hatilah!.

d) Jangan abaikan arnab korang;
Apabila membeli arnab, korang harus bersedia untuk menjaganya. Jangan beli jika tidak memahami bebanan yang mungkin korang tanggung. Jangan juga hadiahkan arnab (yang pada mulanya kelihatan sangat comel) kepada kanak-kanak yang tidak faham penjagaan arnab kerana apabila ia telah besar, comelnya mungkin akan hilang dan arnab itu diabaikan.


Arnab sebagai haiwan ternakan:
Arnab telah lama dijadikan haiwan ternakan dan sumber protein yang baik. Dagingnya lembut, halus dan kurang lemak. Untuk memelihara arnab ternakan,korang  harus memilih baka yang sesuai kerana tidak semua baka arnab baik untuk diternak. Baka yang baik mempunyai ciri-ciri:
a) cepat membesar – 9-10 minggu,
b) cepat membiak – 3-4 bulan,
c) induk mempunyai susu yang banyak,
d) bilangan anak yang banyak (10-12 ekor sekali beranak).
Dua baka arnab yang terbaik untuk diternak adalah:
a) New Zeland white
b) Californian white.
Arnab dari baka lain yang turut diternak adalah Standard Rex, yang biasanya diternak untuk industri kulit. Lebih 30 baka arnab yang lain biasanya dipelihara sebagai hobi, binatang kesayangan atau untuk tujuan pameran. Pastikan korang memilih baka yang betul!
Arnab yang dijual di kedai-kedai atau di pasar tamu biasanya sudah dikacukkan dengan pelbagai jenis baka. Baka arnab tulen boleh didapati daripada pembekal komersil atau melalui jabatan berkaitan. Perlu diingat bahawa ternakan arnab tidak dapat mendatangkan keuntungan yang cepat. Ia memerlukan kerja tekun sepenuh masa dan pengawalan yang rapi untuk mendapatkan keuntungan yang sederhana. Ternakan arnab yang dijalankan dengan sambil lewa akan membawa kerugian.

Ternakan kecil-kecilan:
Ternakan arnab boleh dijalankan secara kecil-kecilan. Saiz kumpulan arnab untuk ternakan jenis ini biasanya di antara 50 hingga 100 ekor arnab pelbagai peringkat umur. Arnab boleh membiak dengan cepat, jika dibiarkan bebas, arnab korang mungkin akan beranak sebulan sekali! Untuk tujuan ternakan dan penjagaan yang baik, arnab betina harus diasingkan daripada arnab jantan sebaik sahaja ia beranak. Biarkan ia memelihara anaknya sehingga berumur sebulan sebelum dibenarkan mengawan semula. Dengan kaedah ini arnab dapat membesarkan anaknya dengan baik dan ia akan beranak sekurang-kurangnya 5 kali setahun. Jika korang memulakan ternakan korang dengan 3 ekor induk betina dan seekor jantan, korang akan mendapat sebanyak 90 ekor anak arnab setahun (purata 6 ekor seinduk sekali beranak dan beranak 5 kali setahun).
Mengawan: Arnab mengawan dalam masa yang singkat, kira-kira 2 saat sahaja. Arnab betina subur sepanjang masa. Oleh itu apabila mengawan, kemungkinan besar ia akan bunting. Arnab bunting selama 30-32 hari. Pada minggu kedua atau ke tiga selepas mengawan, arnab betina akan mula membuat sarang. Jika arnab korang bergerak bebas di atas tanah, arnab betina akan menggali lubang dan membawa rumput untuk membuat sarang. Ini harus diperhatikan kerana biasanya lubang sarang ini akan ditutup semula dan korang tidak tahu. Jangan biarkan arnab korang beranak dalam lubang tanah ini kerana anak-anak arnab biasanya akan mati kerana:
a) digigit semut,
b) dimakan oleh tikus atau kucing dan anjing,
c) lemas ketika hujan lebat.
Sebaik-baiknya, masukkan induk bunting ke dalam kandang pada akhir minggu ke empat. Berikan rumput kering dan letakkan sebuah kotak sarang di dalam kandang itu. Kotak ini boleh diperbuat daripada papan berlantaikan jaring dawai. Saiznya adalah 1.5 x 1 kaki. Arnab korang akan mula menyusun rumput dan membuat sarang di dalam kotak itu. Sehari sebelum ia beranak, ia akan mencabut bulu badannya untuk diletakkan di dalam sarang itu. korang boleh menyaksikan peristiwa ia melahirkan anak pada hari ke 30 atau 31 selepas mengawan, iaitu sebaik sahaja ia selesai mecabut bulu. Jangan ganggu arnab yang sedang beranak kerana jika ia terperanjat, ia mungkin akan:
a) memakan anaknya,
b) melompat dan terpijak anaknya
c) menghentak kaki belakang (tanda awas) dan secara tidak sengaja terpijak anaknya.
Panduan:
a) Jika induk kematian semua anaknya selepas 2 kali beranak, ia tidak sesuai dijadikan induk.
b) korang boleh bahagikan anak-anak arnab kepada induk lain yang bilangan anaknya sedikit supaya anak mendapat susu yang cukup.Arnab baka New Zealand white boleh menghasilkan 10-12 ekor anak sementara baka Californian white boleh menghasilkan 8-10 ekor anak. Periksalah anak-anak arnab ini selepas sehari dan buang anak yang mati. Berikan bekalan makanan dan air bersih. Arnab biasanya makan sepanjang masa tetapi lebih banyak makan pada waktu awal pagi dan lewat petang.
c) Seekor induk boleh beranak dengan baik selama 2 tahun. Selepas itu gantikan dengan induk baru.
d) Arnab boleh menghasilkan daging yang elok selepas berumur 9 atau 10 minggu. Ketika ini dagingnya lembut dan halus. Selepas umur 10 minggu, ia membesar dengan perlahan tetapi kuat makan. korang rugi jika menyimpannya terlalu lama.

Ternakan secara besar-besaran:
Ternakan secara besar-besaran memerlukan pengurusan dan pemilihan baka serta penjagaan kesihatan yang khusus. Oleh kerana penghasilan anak arnab yang cepat, para penternak seharusnya menentukan jumlah ternakan yang sesuai berbanding dengan permintaan pasaran. Maklumat mengenai ternakan arnab secara besar-besaran boleh dibincangkan dengan pegawai-pegawai di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di tempat korang.

Artikel ini telah diterbitkan sebagai sehelai pamplet dan diedarkan sempena Pesta Rumbia di Pantai Sawangan, Kuala Penyu 14-15 Ogos 1999. Maklumat yang terkandung dalam pamplet ini adalah sebagai panduan ringkas tentang pemeliharaan arnab. Orang ramai yang berminat sebaik-baiknya mendapatkan lebih banyak maklumat sebelum memelihara arnab samada untuk tujuan binatang kesayangan atau ternakan.